Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Kelangsat terletak kira-kira 55km dari Pekan Sipitang. Kira-kira 96 peratus penduduk yang mendiami kampung ini adalah suku kaum Murut dan selebihnya adalah bangsa lain.

Pekerjaan penduduk kampung ini kebanyakannya bekerja sendiri dan ada juga yan bekerja sebagai penoreh getah di Lembaga Tabung Getah Mendulong.

Semua penduduk kampung ini hampir 100 peratus beragama Kristian dan berpegang kepada kebudayaan serta adat resam sejak zaman nenek moyang mereka.

Kampung ini berjiran dengan dua buah kampung lain iaitu Kampung Pengarawan di sebelah Timurnya, manakala Kampung Sungai Iteh di sebelah Selatannya. Anak-anak dari tiga buah kampung inilah yang belajar di SK Kelangsat.

Penduduk di sini sering mengunjungi tamu di Pekan Sipitang dan kenderaan yang mereka naiki adalah lori balak atau Land Cruiser milik syarikat-syarikat pembalakan yang beroperasi di kem-kem balak berhampiran kampung ini.

Bangunan baru SK Kelangsat telah dibina pada bulan Februari 1992. Sejarah awal proses persekolahan murid di tiga buah kampung ini adalah di bangunan balai raya Kampung Kelangsat yang beroperasi pada Januari 1990 sehinggalah bulan Mei tahun yang sama. Penubuhan sekolah (balai raya) yang diasaskan oleh En. Andapit Lawat yang ketika itu menjadi Pengerusi JKKK Kampung Kelangsat.

Ketika itu SK Kelangsat mempunyai 34 orang murid yang terdiri daripada Tahun 1, 2 dan 3 sahaja. Murid-murid ini diajar oleh seorang guru iaitu Guru Kemas yang bernama En. Angkupi Ambor dan dibantu seorang penduduk kampung yang sama. Di atas kesedaran penduduk kampung untuk melihat anak-anak mereka dapat belajar, penuduk kampung bersepakat untuk menggaji guru berkenaan dengan bayaran RM5 bagi setiap orang murid setiap bulan.

Dengan usaha gigih Pengerusi JKKK, murid-murid dipindahkan ke satu bangunan yang lebih baik iaitu bangunan bekas kuari batu yang dibahagikan kepada 3 buah bilik darjah. Penubuhan SK Kelangsat telah didaftarkan dan Kementerian Pendidikan (PPD Sipitang) telah mengarahkan En. Peter Sudai Agung yang ketika itu bertugas di SK Kebawang mengambil alih tugas Guru Kemas. Ia bermula pada bulan Jun 1990. Setelah tiga bulan mengajar seorang diri, guru sandaran seramai tiga orang telah dihantar untuk membantu beliau. Bermula dari situ murid SK Kelangsat bertambah kerana murid dari SK Kebawang juga telah berpindah ke SK Kelangsat.

No comments:

Post a Comment

 
Laman Utama | Galeri Gambar | Tutorials | Buletin| Tentang SKKelangsat | Hubungi

Penafian: SK Kelangsat tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini.

Copyright © 2009 SK Kelangsat |Designed by enzo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net